Allahu Akbar.

TAKBIR ertinya dari sudut bahasa ialah 'memperbesarkan'.

"Allah Akbar", pengertiannya selalu diterjemahkan menjadi "Allah Maha Besar". Memang, dalam bahasa Arab, 'akbar' bererti 'paling besar'.

Tapi berapa ramai di kalangan kita yang faham apa maksud sebenar 'besar' dalam kalimah takbir ini?

Apakah maksud BESAR di sini ialah saiznya? Tersergam gah dan tinggi? Oh, pastinya bukan...sebab jika ada yang beranggapan begitu, maknanya kita mengangap Allah mempunyai jasad (termasuk aliran mujassimah yang sesat). Maha Suci Allah daripada bersifat sedemikian.

Aku tak nak konar jauh-jauh, sebab BESAR ini ialah istilah bahasa Melayu. Adakah perkataan besar ini hanya mempunyai satu pengertian saja? Anda pasti tahu, tentulah tidak.

Kita terus pergi kepada contoh. Apa maksud "Orang Besar Negeri"? "Orang Besar Berempat Negeri XXXXX (ikut la Kedah ke, Pahang ke, mana-mana negeri la)"? "Guru Besar"? "Menteri Besar"?

Sudah tentu 'besar' di sini bukan merujuk kepada saiz. Orang-orang di atas ni mungkin saja memiliki saiz tubuh yang kecil sahaja. Habis tu, apa maksud BESAR?

Orang Besar, maksudnya orang penting. Guru Besar, ialah guru yang paling penting di sesebuah sekolah. Menteri Besar, ialah menteri yang paling penting di sesebuah negeri (tapi selain dari di Sabah dan Sarawak, istilah menteri digantikan dengan istilah Exco).

Maka pengertian paling mudah, ialah perkataan BESAR di sini bermaksud PENTING.

Dan Allahu Akbar, pengertiannya ialah ALLAH PALING PENTING.

Anda dah mula faham sekarang? Ya. Apabila kita mula mengangkat takbir untuk memulakan solat, kita mengangkat tangan sebagai ikrar...bahawa kita kita mengakui ALLAH PALING PENTING.

Ya...lebih penting daripada kasut anda yang berada di tangga masjid. Lebih penting daripada kereta yang anda lupa kunci pintunya. Lebih penting daripada handphone yang berharga ribuan ringgit Malaysia. Lebih penting daripada dompet yang tertinggal di tempat mengambil wudhu'. Allah jauh lebih penting daripada semua itu.

Bahkan, Allah lebih penting daripada diri kita...lebih penting daripada jasad kita, nyawa kita! Allah lebih penting daripada kehendak kita, daripada nafsu kita, lebih penting daripada apa pun jua.

Ini juga bermakna bahawa ketika anda sedang solat, itulah pekerjaan anda yang paling penting dalam waktu itu! Jika anda sedang solat Asar, ertinya itulah pekerjaan anda yang paling penting sekali sepanjang waktu asar itu.

Jika di dalam solat berjemaah, kita merungut (dalam hati) bahawa imam tersebut solat terlalu lama, sedangkan kita nak cepat balik makan nasi, maknanya kita sudah berbohong..mulut kata Allah paling penting, tapi hati kita berkata bahawa nasi lebih penting.

Tapi Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Jika kita lapar, dituntut supaya kita hilangkan rasa lapar itu dahulu (melainkan jika waktu solat sudah hampir luput). Bagi para pejuang yang sedang solat sambil berdepan dengan musuh, mereka dianjurkan untuk solat dengan cara yang khas, iaitu kaifiyat solat khauf...untuk menjaga keselamatan diri dan nyawa mereka.

Sekarang kita sudah faham apakah pengertian Allahu Akbar. Dalam setiap pergerakan kita disuruh melafazkan takbir (melainkan i'tidal dan salam). Ini bertujuan untuk 'mengheret' minda kita yang merayau jauh, kembali fokus kepada pengertian ALLAH PALING PENTING.

Takbir dalam setiap pergerakan rukun itu beperanan sebagai 'sauh' yang mencegah akal dan hati kita daripada 'hanyut' dibawa arus dan gelombang dunia, ketika sedang menunaikan solat.

Ingatlah. Ketika anda melafazkan Allahu Akbar di dalam solat, apakah yang paling penting? Elakkan daripada 'berbohong' di dalam solat.

Comments

Popular posts from this blog

Kisah Si Tanggang

WANG HANTARAN

Islamnya Umar